Pendidikan Adalah Sebuah Proses

pendidikan adalah sebuah proses

Pendidikan adalah daerah yang mengutamakan proses, di atas hasil.

Sebab pendidikan mesti mengutamakan proses.

Hasil memang kita mahu. Buat apa melakukan sesuatu yang tidak berhasil. Tetapi hasil sebuah pendidikan selalu dipalsukan melalui pentaksiran yang sempit, lantas kita tertipu. Sebaliknya, proses yang diberi perhatian dan usaha, bisa menghasilkan hasil yang lebih luas daripada keinginan pentaksiran formal.

Kita sukar mengawal hasil agar jadi seperti yang ‘sepatutnya’. Sebab, faktor yang mempengaruhi pembelajaran seseorang itu hakikatnya bermacam-macam. Ada yang kita boleh kawal, ada yang kita tidak boleh kawal.

Profesor John Hattie dari Australia, di dalam kajiannya yang berjudul Visible Learning for Teachers mengatakan bahawa pencapaian seorang murid dipengaruhi oleh beberapa faktor yang boleh dikategorikan kepada enam kelompok manusia iaitu:

  • Pelajar
  • Guru
  • Keluarga
  • Sekolah
  • Teman sebaya
  • Kepala Sekolah

Bayangkan, siapa di kalangan enam di atas yang kita boleh kawal? Selain dua yaitu guru, dan murid. Atau sebenarnya murid pun kita tidak boleh kawal. Lagi malang, kalau yang paling kita boleh kawal iaitu diri kita sendiri sebagai guru itu pun hilang kawalan diri!

Justeru, menyandarkan kekuatan diri semasa mendidik semata-mata kepada hasil, ia melelahkan dan mudah mengundang putus asa. Salah membina harapan. Membina sesuatu yang kita hanya satu daripada enam atau lebih lagi bahan binaannya.

Justeru, belajarlah memperbaiki proses, yakin dengan proses yang betul, jadikan proses pembelajaran, serta proses mengajar atau menyelia pembelajaran, sebagai sesuatu yang bermakna.

Ia permulaan kepada kurangnya keperluan kepada tsunami pengukuran.

Ukur, ukur dan ukur. Taksir, taksir dan taksir, dengan soalan “bagaimana kamu tahu benda yang kamu buat itu betul?” Jawapannya mudah ditipu melalui laporan dan dokumentasi yang dibuat-buat. Jawapan tulennya ialah memulihkan kepercayaan bahawa guru adalah tenaga mahir di bilik darjah, mereka tahu bagaimana sesuatu itu patut dilakukan, lalu dipercayai untuk melakukannya.

Sumber: SaifulIslam.com oleh Hasrizal Abdul Jamil